Jangan menyangka apabila kita sudah melakukan semua jalan menuju ke syurga, syaitan hanya akan berdiam diri. Namun, ia pasti berusaha memesongkan langkah kita dari jalan-jalan syurga.
Pelbagai teknik dan cara dilakukan syaitan; jika tidak berjaya dengan cara kasar, maka ia akan melakukannya dengan cara lembut.
Salah satu cara syaitan adalah dengan membisikkan kepuasan dalam diri manusia, iaitu perasaan diri telah suci dan cukup dalam ibadahnya. Lalu, seseorang berasa sudah cukup layak menjadi ahli syurga yang satu-satunya di muka bumi ini. Perasaan seperti ini disebut ujub dan ia dapat menghapuskan amal soleh kita.
Para solihin tidak mudah tertipu dengannya. Hanya orang yang jahil sering tertipu dengannya. Seseorang berkata kepada al-'Ala' bin Ziyad: "Semalam aku bermimpi seolah-olah sedang melihatmu di dalam syurga." Al-'Ala' menjawab: "Celaka engkau. Tidakkah syaitan menemui orang lain untuk ditipu selain dirimu dan diriku?"
Justeru, tawaduk mesti selalu berada di dalam hati. Jangan sekali-kali berasa diri sendiri sudah baik dan suci, lalu mendorong kita menghukum orang lain mengikut kemahuan kita. Tawaduk dan merendah diri merupakan sifat utama bagi ahli syurga. Orang yang angkuh dan sombong tidak akan masuk syurga walaupun amalannya sebesar atau setinggi gunung.
Rasullah s.a.w. bersabda, maksudnya:"Tidak akan masuk syurga bagi orang yang terdapat padanya sebesar zarah (biji sawi) kesombongan." (Riwayat Muslim)
^UR @!^@ #U$^@